20 Jun 2011

Adab-Adab Berdoa

Assalam..sesuatu yg baik utk dikongsi bersama yg aku petik dr emel yg aku terima..moga dpt memberi iktibar & panduan utk kite semua..InsyaAllah..


Doa merupakan ibadah yang amat dituntut dalam Islam. Amalan ini merupakan satu  tanda kehambaan kita kepada  Yang Maha Esa. Setiap mukmin pasti mempunyai hajat-hajat tertentu dalam kehidupannya sama ada untuk  diri sendiri, suami,isteri , anak-anak dan juga ibubapa serta rakan taulan. Kebiasaannya, hampir setiap hari kita memanjatkan doa  dan  ada di antaranya segera dimakbulkan oleh Allah. Tidak kurang juga  di kalangan kita  yang tidak diperkenankan doanya walaupun bertahun-tahun  berbuat demikian. Walau bagaimanapun, jangan sekali-kali kita berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Sesungguhnya Dia sentiasa mendengar doa hamba-hamba-Nya.

Dalam Surah al-Baqarah : 186, Allah berfirman yang bermaksud :

“ Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya tentang Aku, maka (jawaplah) bahawasanya Aku adalah dekat, Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”

 Adab-adab Bedoa:

1.       Hendaklah anda beriman dengan Allah dengan sepenuh kepercayaan bahawa Dialah yang memberi  manfaat dan mudarat  dan hendaklah anda menerima hidayah dan ajaran agama yang diturunkan.

2.       Hendaklah mengandungi ucapan selawat ke atas junjungan besar nabi kita Muhammad SAW.

3.       Jangan sesekali merasa ragu tentang penerimaan Allah dan hendaklah hadirkan hati anda ketika berdoa dengan sebenar-benarnya.

4.       Jangan berputus asa dalam berdoa. Sekiranya doa kita belum diperkenankan, teruskan berdoa kerana Allah itu Maha Mendengar doa dan rintihan hamba-hamba-Nya. Lambat atau cepat doa kita diperkenankan, pasti ada hikmah di sebaliknya. Allah tidak suka kepada orang berputus asa dengan rahmat-Nya.

5.       Doa kita tidak mengandungi  unsur dosa dan memutuskan silaturrahim.

6.       Tidak meninggikan suara.

7.       Menjalankan al –amr  bil ma’ruf dan mencegah kemunkaran

8.       Pastikan sumber makanan dan minuman kita adalah halal




Demikianlah beberapa adab berdoa yang perlu kita ambil perhatian agar amalan kita diterima di sisi-Nya. Amalan ini mencerminkan betapa besarnya harapan kita kepada-Nya selaku pentadbir alam ini. Sebagaimana seorang hamba yang sentiasa mengharapkan belas kasihan dan perlindungan daripada tuannya, begitulah jua kita sebagai hamba yang kerdil yang sentiasa memerlukan perlindungan dan pertolongan dari  Yang Maha Pencipta dalam menjalani kehidupan di dunia ini yang fana’ ini.

No comments:

Post a Comment